Lelaki
Tazim
Kehormatan
Tawqir
Kejayaan diizinkan oleh Allah
Tariq
Bintang subuh, pengetuk hati
Perempuan
Umamah
Cucu Rasulullah SAW dari Zainab
Uzdah
Ada unsur kelebihannya
Urjuwanah
Pohon yang kemerah-merahan, warna merah yang indah
Nama Ibu

Nama Bayi
Muhammad Afiq Danish bin Ahmad Shukry

Gembira, Sihat & Sedia Belajar (Bahagian 5)

Bulan ini kita akan menutup perbincangan aspek fizikal iaitu konsep ‘sihat’ dalam rangka kerja ‘Gembira, Sihat dan Sedia Belajar’. Dalam bulan-bulan akan datang, saya akan cuba membuka topik ‘gembira’ dan ‘sedia belajar’ pula untuk membantu ibu bapa dan guru prasekolah meningkatkan tahap kepakaran mereka dalam pendidikan praformal kanak-kanak yang berusia antara 0-6 tahun.

Kesihatan si kecil dan pertumbuhan fizikal yang elok sebenarnya sentiasa menjadi fokus ibu bapa dan guru prasekolah. Jika anda tidak percaya, lawat sahaja profil majalah Pa&Ma di laman web sosial ‘FaceBook’. Boleh dikatakan hampir kesemua topik perbincangan di profil majalah kesayangan anda ini adalah berkaitan dengan pertumbuhan
fizikal si kecil.

Malah, percubaan saya untuk mengutarakan topik-topik perkembangan kognitif dan penaakulan bahasa sukar mendapat respons daripada pembaca! Ertinya, setiap ibu bapa dan juga pendidik kanak-kanak praformal sentiasa memberi tumpuan khas kepada pertumbuhan fizikal. Apabila si kecil bertumbuh sihat, ia adalah perkara paling asas yang menyenangkan hati setiap ibu bapa yang prihatin.

Kesihatan adalah komponen terpenting dalam proses membesarkan kanak-kanak, maka tidak hairanlah ibu bapa akan cepat risau jika si kecil mereka menghadapi masalah berkaitan tumbesaran. Untuk meneruskan perbincangan kita, saya ingin menggariskan beberapa tips lagi untuk membantu ibu bapa dan juga guru prasekolah memastikan tumbesaran si kecil yang sihat.

Latihan penggunaan dan kecekapan tangan dan jari

Ada kanak-kanak yang masih tidak dapat menulis dengan elok walaupun mereka sudah melangkah kaki ke alam sekolah rendah. Ada juga yang masih tidak dapat melakukan pergerakan motor halus untuk membolehkan mereka membuat lakaran, melukis, menggunting kertas dan sebagainya.

Masalah sebegini adalah simptom penggunaan tangan dan jari yang masih kurang cekap. Ia sebenarnya boleh dielakkan dari awal lagi dengan memberi latihan yang sesuai kepada anak praformal anda.

Anda hanya perlu membuat pelaburan kecil dengan membeli beberapa peralatan untuknya.

Sebagai permulaan, sediakan buku-buku mewarna yang sesuai dan cat warna yang boleh menarik minat si kecil sejak usia dua tahun lagi. Latihan mengecat dengan jari mempunyai banyak manfaat, lebih-lebih lagi jika ia dilakukan dengan pengawasan ibu bapa atau seorang guru. Secara perlahan-lahan pergerakan tangan si kecil yang kaku akan menjadi lebih cekap apabila dia kerap bermain cat jari ini.

Begitu juga dengan penggunaan permainan susun suai gambar (jigsaw puzzle) yang sesuai dengan umur anak anda. Sebaik sahaja dia mencecah umur dua atau tiga tahun dan tidak lagi cenderung memasukkan semua benda ke dalam mulut, permainan seperti ini boleh diperkenalkan. Kecekapan tangan dan kordinasi mata dan minda boleh dilatih dalam diri kanak-kanak praformal dengan permainan seperti ini.

Penggunaan bahan rangsangan lain seperti permainan blok atau plastisin juga boleh diperkenalkan apabila si kecil anda sudah melepasi tahap suka memasukkan semua benda ke dalam mulut. Permainan seperti ini secara tidak langsung akan membantu kanak-kanak menjadi lebih cekap mengawal pergerakan tangan dan jarinya - kemahiran yang kritikal dalam aktiviti menulis kelak di sekolah rendah.

Akhir sekali, apabila masanya dirasakan sesuai pastikan si kecil anda mula diberi peluang untuk mengenakan pakaiannya sendiri. Kemahiran ini bukan hanya perlu untuk membantu anak anda belajar menulis dengan cekap, ia juga dapat mengajarnya menjadi lebih berdikari dengan cepat. Lazimnya, sekitar usia dua atau tiga tahun usaha ini perlu  diperkenalkan agar tumbesaran tangan dan jari seorang kanak-kanak praformal menjadi lebih cekap.

Sihat penglihatan & pendengaran perlu tumpuan khas

Penglihatan dan pendengaran yang sihat adalah kritikal untuk menjamin perkembangan si kecil pada masa hadapan. Walaupun usaha-usaha boleh diambil untuk membantu kanak-kanak yang menghadapi masalah penglihatan dan pendengaran yang serius, secara amnya jika mata dan telinga kanak-kanak terkena penyakit atau mengalami kecacatan sejak lahir, kemahiran mereka untuk berbahasa dan kemahiran kognitif lain mungkin akan berlaku lebih lambat berbanding rakan sebaya mereka.

Di sini saya ingin mengingatkan ibu bapa dan guru prasekolah agar memberi tumpuan khas kepada kemampuan penglihatan dan pendengaran kanak-kanak praformal di bawah jagaan mereka. Ini kerana masalah berkaitan penglihatan dan pendengaran sukar untuk kita sedari melainkan masalah itu terlalu serius!

Oleh itu, pastikan pemeriksaan kesihatan yang dilakukan ke atas anak anda mengambil kira isu penglihatan dan pendengarannya. Doktor pakar kanak-kanak yang bertauliah pasti boleh memberi lebih informasi kepada anda jika anda merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan penglihatan dan pendengaran si kecil di bawah jagaan anda.

Sebagai contoh, jika si kecil praformal anda sering mengadu bahawa dia sakit telinga atau dia sering menghadapi masalah untuk bernafas atau masalah berkaitan dengan tekak, lazimnya ini satu petanda untuk membawa kanak-kanak itu menjalani ujian pendengaran. Ini kerana masalah-masalah kesihatan ini sentiasa berkait rapat antara satu dengan lain dan tanpa pendengaran yang sihat, perkembangan kognitif lain sukar berlaku.

Ujian penglihatan juga disyorkan oleh doktor-doktor pakar kanak-kanak sebelum si kecil mencapai usia tiga tahun. Ujian penglihatan khas untuk kanak-kanak praformal tidak memerlukan mereka mengetahui abjad atau huruf terlebih dahulu. Ujian seperti ini perlu jika anda mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan penglihatan kanak-kanak yang di bawah jagaan anda.

Yang paling utama, kesihatan penglihatan dan pendengaran boleh dijamin dengan langkah-langkah awal yang saya sebutkan di atas. Walaupun seorang kanak-kanak praformal menghadapi masalah penglihatan dan/atau pendengaran yang serius, perkembangan sains dan teknologi dalam bidang perubataan pediatrik membolehkan pelbagai jenis pengantaraan (intervention) dilakukan agar kanak-kanak itu boleh berkembang seperti kanak-kanak lain.

Kesihatan si kecil tanggungjawab ibu, bapa dan guru prasekolah

Sebagai kesimpulan awal, selama empat bulan ruangan ini cuba membincangkan dan memperhalusi komponen ‘sihat’ dalam insiaitif ‘Gembira, Sihat dan Sedia Belajar’ kita. Tidak boleh disangkal lagi bahawa kesihatan adalah anugerah Tuhan untuk manusia dan ia adalah komponen terpenting dalam pendidikan kanak-kanak praformal yang berusia 0-6 tahun.

Jika si kecil tidak sihat atau selalu sakit, tentunya dia tidak akan dapat menaakul ilmu pengetahuan dengan baik dan perkembangan minda dan emosinya akan terganggu. Dan seperti yang sudah saya nyatakan pada awal artikel ini, semua ibu bapa memberi tumpuan khas kepada aspek kesihatan dan tumbesaran anak mereka terlebih dahulu sebelum aspek lain seperti perkembangan kognitif dan penaakulan bahasa.

Fakta ini membuktikan bahawa usaha untuk menjamin kesihatan kanak-kanak praformal adalah tanggungjawab yang dipikul oleh semua pihak yang berkepentingan dalam proses pendidikan mereka - tidak kira ibu, bapa, penjaga, guru prasekolah atau pengusaha institusi taska atau tadika.

Sama-samalah kita memastikan semua kanak-kanak 0-6 tahun di Malaysia sentiasa sihat dan mengambil langkah-langkah pencegahan untuk memastikan mereka tidak dilanda masalah berkaitan tumbesaran tubuh badan mereka.

Dapatkan Majalah Pa&Ma keluaran Julai di pasaran.