| Lelaki |
|---|
| Tazim Kehormatan |
| Tawqir Kejayaan diizinkan oleh Allah |
| Tariq Bintang subuh, pengetuk hati |
| Perempuan |
| Umamah Cucu Rasulullah SAW dari Zainab |
| Uzdah Ada unsur kelebihannya |
| Urjuwanah Pohon yang kemerah-merahan, warna merah yang indah |
![]() |
Nama Ibu Nama Bayi Muhammad Afiq Danish bin Ahmad Shukry |
Kebahagiaanku Dirampas Orang Ketiga
Hati wanita mana yang tidak terguris tatkala mengetahui suaminya bermain mata dengan orang ketiga. Sedangkan, usia perkahwinan baru setahun jagung. Luka itu tambah dalam apabila Haliza (bukan nama sebenar) mengenangkan nasib kandungan yang masih di awal fasa kehamilan.
“Saya berumur 21 tahun manakala suami, 22 tahun. Walaupun berkahwin atas saranan keluarga, saya sangat menyayangi suami. Namun, sejak kebelakangan ini, ada sesuatu yang cuba disembunyikannya. Konflik bermula apabila suatu hari saya melihat SMS di dalam telefon suami dan nama penghantarnya ialah Damansara. Saya tergerak untuk membaca isi kandungan mesej itu. Rupa-rupanya penghantar mesej itu perempuan!
Hati saya betul-betul terluka. Tidak sangka suami ada hubungan dengan wanita lain ketika sedang melalui fasa awal kehamilan. Apa-apa pun saya tidak sanggup berpisah dengannya demi anak yang bakal dilahirkan.”
PENDAPAT KAUNSELOR:
Tahniah dan syukur kepada ALLAH SWT kerana ditakdirkan bertemu jodoh dalam usia muda malah dikurniakan oleh-Nya nikmat menjadi seorang ibu dalam masa yang cepat berbanding segelintir wanita yang perlu menunggu hingga bertahun-tahun lamanya. Bersyukurlah kepada ALLAH SWT atas kurniaan-Nya itu.
Sebelum menjawab dengan lebih panjang, perkara pertama yang puan perlu lakukan ialah bertenang agar emosi turut tenang dan tidak mengganggu kehamilan. Mungkin puan bertanya; “Bagaimana boleh tenang bila ada wanita lain dalam hidup suami?” Saya faham. Tiada wanita yang gembira bila mengetahui ada wanita lain di dalam kamus hidup suaminya. Namun, perlu diingat, jika puan mengikut perasaan, keadaan akan jadi lebih teruk. Bukan sahaja kepada hubungan puan dan suami malah kepada bayi di dalam kandungan. Buat seketika, berikan bayi ketenangan. Ingat ya! Emosi ibu mempengaruhi emosi bayi di dalam kandungan dan selepas kelahiran nanti.
Berkaitan SMS yang puan maksudkan, saya akui kesilapan suami ialah menyembunyikan sesuatu. Maaf jika kata-kata saya menyakitkan hati. Namun, secara jelas, suami puan bertindak menipu dengan menggunakan nama samaran kepada wanita tersebut. Menipu walau atas apa alasan sekalipun adalah salah dan dalam hubungan suami isteri, rahsia sebegini tidak sepatutnya berlaku.
Saya kurang jelas maksud puan tentang konflik yang berlaku selepas identiti Damansara terdedah cuma saya harapkan, bukanlah pergaduhan besar. Seperti yang saya jelaskan di awal tadi, tiada seorang wanita pun suka apabila mengetahui suaminya mempunyai wanita lain. Namun, fitrah tersebut bukan alasan untuk isteri berteriak memarahi suami atau menangis menyeksa diri sendiri. Wujudnya pesaing bukan bererti kisah cinta puan bersama suami telah tamat. Tidak mustahil, orang ketiga itu adalah jalan untuk puan memantapkan lagi hubungan bersama suami tercinta.
Menang
Perkara paling utama yang perlu puan lakukan ialah bertanya dengan baik kepada suami tentang identiti sebenar wanita tersebut. Ingat! Persoalkan dalam keadaan emosi yang rasional. Emosi yang tidak tertanggung kala itu perlu dikawal agar tidak merumitkan keadaan. Apabila telah nyata wanita tersebut hadir sebagai insan ketiga, persoalkan kenapa wanita tersebut perlu wujud dan mendapat tempat istimewa di hati suami puan?
Biasanya, hampir 90% jawapan yang akan diberikan oleh para suami ialah insan ketiga tersebut lebih memahami, lebih bijak melayani berbanding isteri. Ketika itu, isteri yang telah mengabdikan diri bertahun-tahun kepadanya sudah serba tidak kena. Dalam kes puan pula, berkemungkinan wanita itu hadir lebih awal di hati suami cuma mereka tidak mampu untuk bersama disebabkan puan menjadi pilihan keluarganya.
Tidak mengapa! Jangan putus asa. Puan perlu lebih rasional dan adil dalam tindakan. Tanamkan dalam diri, puan sudah pun menang. Puan berjaya memiliki suami, menjadi pasangan yang sah menurut syarak dan diiktiraf oleh masyarakat. Sebaliknya teman wanita suami, belum pun memiliki suami puan, mungkin sekadar memiliki cebisan cintanya. Saya namakan cebisan sebab puan masih isterinya yang sah. Jika suami tidak lagi menyayangi puan, sudah pasti puan ditinggalkannya.
Walaupun menang, pertimbangkan komen dan kritikan yang suami lontarkan. Perbetulkan diri, cermin peribadi. Seandainya semua itu benar, maka puan perlu bertindak. Ubah sikap dan penampilan atau apa jua yang tidak disukai oleh suami tetapi ingat, jangan melampaui batasan syariat. Sebagai contoh, puan bertudung tetapi teman wanitanya tidak bertudung. Jadi, puan ingin menampilkan diri seperti dia. Ini cara yang salah. Puan sebagai makhluk-Nya lebih berhak mentaati ALLAH SWT walau apa jua kehendak suami.
Apabila segalanya telah diikuti ataupun komen suami langsung tidak ada yang berkaitan (sekadar memberi alasan), pertahankan harga diri. Cuba sedaya upaya untuk memikat suami agar cintanya kepada puan kembali mantap. Memang ini adalah satu situasi yang sukar tetapi puan perlu melakukannya jika tidak mahu insan ketiga menang dalam persaingan ini.
Perkara yang perlu dielakkan ialah mengapi-apikan perasaan suami seperti mengutuk teman wanitanya, mengungkit-ungkit kebaikan dan pengorbanan puan yang tidak dihargai suami, melakukan keganasan fizikal dengan mencederakan suami atau mencerca dan memaki hamun. Jika benar teman wanita tadi hadir lebih awal daripada puan, sikap puan
yang memburuk-burukkan teman wanitanya pasti menyulitkan lagi keadaan malah tidak mustahil akan merenggangkan hubungan kalian.
Hipokrit
Dalam keadaan ini, puan memang perlu bersikap hipokrit sedikit atau mungkin hipokrit 100%. Usahakanlah untuk ceria dan bersahaja melayani suami seperti biasa. Jika sebelum ini layanan sekadar tiga bintang, berikan layanan hebat setinggi lima bintang. Dalam masa yang sama, cuba kembalikan memori suami kepada kenangan manis. Mungkin saat berbulan madu atau ketika mula-mula bertemu selepas dicadangkan penyatuan jodoh puan dan suami atau apa-apa sahaja yang mampu membuatkan suami mengenang kembali detik-detik itu.
Puan boleh juga membawa ingatan suami kepada perkara yang bakal berlaku; kegembiraan menyambut cahaya mata pertama, mendengar tangisan, melihat senyumnya dan lain-lain. Ajak suami untuk memikirkan nama si kecil yang bakal lahir, membeli barangan bayi atau sama-sama ke klinik untuk pemeriksaan rutin. Dalam apa juga perkara yang dilakukan, ajak suami turut serta. Gunakan ayat-ayat lembut seakan merayu agar suami bersama dengan puan dalam setiap aktiviti tersebut.
Memang ada kemungkinan suami menolak tambahan pula jika dia berjanji dengan teman wanitanya. Ingat! Jangan mengamuk dan jangan juga mengalah! Biarkan dia tetapi puan minta agar suami berjanji, di lain masa, dia perlu bersama dengan puan pula. Jangan disekat kemahuannya. Ingat ya! Suami tidak suka disekat apatah lagi dikongkong. Tambahan apabila ada yang “manis” menantinya di luar. Jalan terbaik, biarkan dia pergi tetapi pastikan ada masa gantian untuk puan pula.
Berdoa
Pada masa yang sama, jangan berhenti berdoa. Ramai isteri malah suami lupa berdoa agar ditetapkan kasih pasangan kepadanya. Rata-ratanya, berdoa sebelum dapat. Bila sudah bersama, mula lupa berdoa. Perlu diingat, kasih bermula daripada tiada kemudian ada dan boleh kembali tiada jika ada yang memadamnya. Lantas, berdoalah kepada ALLAH SWT agar ditetapkan hati suami agar terus menyayangi dan mencintai puan walau dalam apa jua keadaan. Jika hubungan suami puan bersama wanita tadi tidak memberikan kebaikan kepada hubungan puan dan suami, mohon agar hubungan mereka putus dan kembalikan suami ke pangkuan puan tanpa ada cela perasaan.
Mohon juga, agar kelahiran anak sulung akan mengubah sikap suami. Ada ketika, kehadiran cahaya mata mampu menjadikan suami malah isteri berubah menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab. Di samping berdoa, buangkan segala buruk sangka seperti kerisauan puan tentang tidak sanggup berpisah. Ayat tersebut menyatakan fikiran puan. Saya faham, ia sekadar luahan tetapi tolong jangan sematkan perkara tersebut di dalam fikiran kerana ia boleh bertindak sebagai doa. Nauzubillah!
Beri masa dan peluang kepada suami untuk berubah. Jika dia tidak mempunyai hubungan istimewa pun dengan wanita tersebut (mungkin kawan rapat sahaja) ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilupakan begitu sahaja. Suami boleh beransur-ansur berubah tetapi tidak mustahil, kenangan masih ada. Pesanan saya, jika ternampak seperti suami termenung, jangan pula diapi-apikan dengan kisah lama. Sikap sedemikian boleh membangkitkan emosi lama. Jalan terbaik, hampirinya dan berbual tentang hubungan kalian berdua.
Memang sukar menghadapi semua ini. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Percayalah, jika puan bersabar menghadapi ujian ini dan berdoa mengharapkan redhaNya, puan akan menang! Seperti babak di dalam filem atau drama, heroin selalunya menderita dahulu sebelum mencapai bahagia. Insya-ALLAH, puan juga seperti Cinderella, mengecap bahagia di hujung derita.
Dapatkan Majalah Pa&Ma keluaran JUN 2010 di pasaran.
| Fillet Ikan Istimewa |
![]() |
Satu lagi hidangan yang ringkas tetapi penuh khasiat. Jika anda tidak menggemari fillet segera yang banyak dijual di pasaraya, anda bolehlah membuat fillet anda sendiri. Caranya amat mudah.... |
» Halia atasi kembung
» Elakkan anak kencing malam
» Hilangkan parut
» Payudara kembali anjal


